Prinsip Perakaunan

Sijil Pelajaran Malaysia

SPM 2010- 10 SUBJEK SAHAJA

Mulai 2010, pelajar spm dihadkan mengambil 10 subjek sahaja dan langkah ini pastinya akan mendatangkan dilema kepada pelajar yang berada di Tingkatan 4 sekarang (2009). Langkah ini memang diakaui ada pro dan kontranya tetapi bagi cikgu agak terkejut juga mendengar keputusan ini tetapi cikgu akur. Cuma cikgu berharap agar pihak tertentu dapat membuat bancian terperinci terutama kepada pelajar terlibat yang telah belajar separuh penggal di Tingkatan 4 dan juga beberapa subjek yang merupakan subjek elektif dan di ajar di luar sidang (luar jadual waktu biasa). Sesetengah subjek ini mungkin tidak akan ditawarkan lagi di sekolah. Kini cikgu cuma menunggu surat rasmi penghadan 10 subjek ini dan akan dihebahkan kepada para pelajar.

wasalam.

Berita harian 3 Jun 2009.

SPM had 10 subjek

Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my

Bolehkan guru tumpu pengajaran mata pelajaran teras: Muhyiddin

SEREMBAN: Mulai tahun depan, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil maksimum 10 mata pelajaran, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu akan membolehkan guru memberi tumpuan kepada pengajaran subjek teras, manakala sekolah tidak menghadapi masalah kekurangan guru bagi sesetengah mata pelajaran.

“Langkah mengehadkan subjek itu turut memanfaatkan ibu bapa kerana ada yang terpaksa menghantar anak mengikuti kelas tuisyen berikutan waktu pembelajaran subjek tambahan di sekolah tidak mencukupi,” katanya pada sidang akhbar selepas meletakkan batu asas Kompleks Pendidikan Bandar Enstek di sini, semalam.

Sistem persijilan terbuka sekarang tidak mengehadkan jumlah mata pelajaran yang hendak diduduki calon SPM menyebabkan sesetengah pelajar mengambil sehingga 20 subjek. Tahun lalu, 48,000 pelajar atau kira-kira 10 peratus daripada 500,000 calon SPM mengambil lebih 10 subjek.

Muhyiddin berkata, selaras langkah mengehadkan subjek SPM, sistem penggredan peperiksaan itu juga akan diubah untuk memudahkan penilaian dalam penawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Perubahan sistem penggredan ini penting supaya jika dapat A, kita mahu tentukan sama ada gred itu A, A+ atau A-. Begitu juga jika B, sama ada B, B+ atau B-. Ini supaya dalam soal mendapat biasiswa, pelajar dinilai berdasarkan bilangan subjek diambil dan gred diperoleh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom menjelaskan, sistem penggredan baru itu turut meliputi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun depan. Sistem itu sudah dilaksanakan di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Sistem ini akan menjadikan keputusan peperiksaan lebih terperinci. Sebagai contoh di peringkat UPSR, kira-kira 48,000 murid mendapat A dalam semua subjek. Jadi dengan sistem baru, lebih mudah untuk pemilihan murid memasuki sekolah berasrama penuh,” katanya.

Alimuddin berkata, sistem penggredan itu masih dikaji untuk diperhalusi, tetapi kementerian tidak menghadapi masalah untuk melakukannya kerana hanya memerlukan sedikit penyusunan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya yang membincangkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) kelmarin, mahu usaha diperhebatkan untuk meningkatkan mutu pendidikan di luar bandar.

Usaha akan dilakukan dalam Rancangan Malaysia (RMK) Ke-10 untuk memperbaiki kemudahan prasarana di luar bandar serta menghantar guru terlatih dan berkelayakan, terutama bagi subjek bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

“Ini penting untuk merapatkan jurang pencapaian pendidikan antara bandar dan luar bandar serta antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

“Walaupun jurang itu tidak terlalu jauh, ada perbezaan ketara antara bandar dengan luar bandar. Ini dapat dilihat dari segi keputusan peperiksaan,” katanya yang sebelum itu melakukan lawatan kerja ke tapak projek Kompleks Pendidikan Bandar Enstek.

Antara komponen utama kompleks pendidikan berharga kira-kira RM1.3 bilion itu ialah Institut Aminuddin Baki, Kolej Tunku Kursiah, Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris dan Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Fasa pertama dijangka siap akhir tahun depan, manakala fasa kedua dilaksanakan dalam RMK-10. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

ARKIB : 29/05/2009

Calon SPM dihad ambil 10 subjek

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 28 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan telah memutuskan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun depan tidak lagi boleh mengambil lebih daripada 10 mata pelajaran.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, perbincangan mengenainya telah dibuat di peringkat Kementerian Pelajaran dan keputusan itu juga sekali gus membawa perubahan dalam sistem penggredan mata pelajaran.

‘‘Kita akan mengehadkan 10 subjek sahaja untuk peperiksaan SPM pada tahun 2010 dan kementerian perlu membuat beberapa perubahan dalam penggredannya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis peletakan batu asas Kompleks Pendidikan Bandar Enstek, Nilai dekat sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Zulkurnain Awang.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, berdasarkan keadaan semasa, jumlah pelajar yang mengambil lebih 10 subjek pada peperiksaan SPM tahun lalu cuma 48,000 berbanding 500,000 yang mendudukinya seluruh negara.

‘‘Cuma 10 peratus yang mengambil lebih 10 subjek. Kita percaya dengan perubahan ini, 90 peratus pelajar yang kekal dalam 10 subjek atau kurang akan memperlihatkan angka yang sama tahun ini.

‘‘Perkembangan ini sudah tentulah memberikan impak positif dalam kaedah pengajaran guru di sekolah kerana mereka boleh menumpukan khusus kepada 10 subjek berkenaan.

‘‘Selain itu ia juga mengurangkan kos kepada ibu bapa yang terpaksa menghantar anak mengikuti kelas tuisyen kerana pengajaran dalam subjek pilihan tidak dibuat secara konsisten di sekolah,” kata beliau.

Muhyiddin juga menjelaskan, ketika ini kekemasan pelaksanaan peperiksaan 10 subjek dalam SPM itu sedang diperincikan oleh pegawai di kementerian berkenaan.

‘‘Memang sistem penggredan akan berlaku perubahan dan kita akan melihat kemungkinan pelajar mendapat A+, A atau A- atau B+, B mahupun B- bertambah ramai.

‘‘Ini akan diperhalusi kerana ia juga akan melihat kaedah terbaik dalam pemberian biasiswa kepada pelajar yang cemerlang dalam subjek terbabit. Ia akan dilakukan dengan sebaik mungkin,” kata beliau.

Semalam Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, sekumpulan ahli akademik dan profesional telah memulakan kajian terhadap cadangan kerajaan untuk mengehadkan jumlah subjek yang boleh diambil pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurutnya, kajian itu yang dijalankan atas arahan Timbalan Perdana Menteri akan melibatkan semua aspek.

Antara aspek yang dikaji ialah perbandingan tahap kecemerlangan pelajar termasuk mengkaji apakah pelajar yang memperoleh 21A itu cemerlang, tetapi mereka yang skor A dalam semua sembilan mata pelajaran yang diambil tidak cemerlang.

Dalam kajian yang dibuat itu juga, kementerian tersebut ingin mendapatkan kepastian tujuan sebenar pelajar berkenaan mengambil lebih daripada 10 subjek dan rasionalnya mengambil subjek bertindih dan skor A.

Metro 3 Jun 2009

EMPAT tahun lalu, masyarakat dikejutkan dengan kejayaan Nur Amalina Che Bakri yang memperoleh 17 A1, sekali gus mencatat sejarah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sejak itu, pelajar berlumba-lumba untuk memperoleh keputusan yang lebih cemerlang.
Rentetan daripada kejayaannya itu, seorang lagi pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Yan, Kedah, Azali Azlan, berjaya memecahkan rekod Nur Amalina dengan mendapat 21 A dan Nik Nur Madihah Nik Kamal, 20 A dalam SPM 2008.

Kejayaan mereka memang mengagumkan dan setiap pelajar mengimpikan untuk mencatatkan keputusan sama.

Namun, keputusan cemerlang SPM yang tidak seragam seperti 14 A, 15 A atau 19 A menimbulkan pelbagai isu termasuk tawaran biasiswa.

Kebanyakan pelajar yang memperoleh biasiswa terutama daripada kerajaan mendapat lebih 10 A dalam SPM.

Ini memberi tekanan kepada pelajar yang hanya mengambil 10 mata pelajaran.

Justeru, bagi memberi keadilan kepada semua pihak, mulai tahun depan, calon SPM hanya dibenarkan mengambil maksimum 10 mata pelajaran.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan itu membolehkan guru memberi tumpuan kepada pengajaran subjek teras dan menangani kemelut kekurangan guru bagi sesetengah mata pelajaran.

Ibu bapa juga tidak perlu menghantar anak mengikuti kelas tuisyen berikutan waktu pembelajaran subjek tambahan di sekolah tidak mencukupi.

Keputusan yang diumumkan beliau yang juga Menteri Pelajaran, Khamis lalu disambut baik masyarakat terutama golongan pendidik, ibu bapa dan pelajar sekolah.

Bekas Pengetua Kolej Tunku Kurshiah (TKC) Seremban, Negeri Sembilan, Tengku Azuan Tengku Mohamed, berkata keputusan memaksimumkan bilangan mata pelajaran kepada 10 subjek satu langkah yang wajar dan baik.

Menurutnya, pengambilan lebih daripada 10 mata pelajaran membuatkan pelajar itu terlalu memfokuskan kepada pelajaran semata-mata.

“Kini, bidang pendidikan sudah berubah. Cemerlang dalam akademik saja tidak mencukupi dan ia perlu diseimbangi dengan kokurikulum dan sahsiah diri.

“Jadi, dengan mengambil lebih daripada 10 mata pelajaran, ia tidak akan dapat membentuk insan atau pelajar yang seimbang dari segi akademik, kokurikulum dan sahsiah diri,” katanya.

Beliau yang berkhidmat lebih 32 tahun dalam bidang pendidikan berkata, pelajar gagal memberi tumpuan jika mengambil lebih mata pelajaran dalam SPM.

“Masa terluang mereka juga terhad kerana perlu dihabiskan untuk mengulang kaji pelajaran.

“Jika tiada masa terluang, bagaimana untuk bersukan dan melakukan aktiviti rekreasi,” katanya.

Sistem sekarang yang membenarkan pelajar mengambil lebih daripada 10 mata pelajaran tidak adil terutama kepada pelajar di sekolah berasrama.

“Pelajar sekolah berasrama mampu memperoleh keputusan cemerlang seperti mereka yang mengambil lebih daripada 10 mata pelajaran.

“Namun, tiada peluang mengambil subjek lain, mereka hanya mampu memperoleh 10 A dalam SPM,” katanya.

Oleh itu, mengehadkan pengambilan mata pelajaran bagi calon SPM bermula tahun depan adalah wajar dan adil.

Sementara itu, Pesara Tentera, Othman Hassan, 49, berkata keputusan itu wajar.

Katanya, ia meringankan beban pelajar yang menghadapi beban dengan subjek sedia ada.

“Sebagai bapa, saya merasai tekanan mereka kerana banyak tumpuan perlu diberikan kepada subjek tertentu.

“Jika 10 subjek pun mereka tidak mampu memperoleh A dalam setiap mata pelajaran, inikan pula jika jumlah mata pelajaran wajib bertambah,” katanya.

Othman yang mempunyai lima anak berkata, guru kini boleh memberi tumpuan kepada subjek penting

June 4, 2009 - Posted by | educations

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: