Prinsip Perakaunan

Sijil Pelajaran Malaysia

Tranformasi pendidikan 2010

Dipetik daripada Utusan Malaysia

Transformasi pendidikan bermula 2010

KUALA LUMPUR 12 Jun – Kementerian Pelajaran akan melaksanakan transformasi sistem pendidikan bermula 2010 bagi meningkatkan kualiti akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah murid.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, transformasi tersebut akan melibatkan beberapa perubahan dari segi kurikulum dan sistem peperiksaan sekolah.

”Kami akan buat perubahan dari segi kandungan kurikulum supaya ia menjadi lebih menarik dan seronok serta tidak membebankan pelajar.

”Kita nak wujudkan konsep ‘pelajar berlari ke sekolah dan berjalan pulang ke rumah’ sebagai menunjukkan betapa mereka seronok dan teruja untuk menimba ilmu di sekolah,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Guru peringkat daerah Hulu Langat di sini hari ini.

Alimuddin berkata, selain kurikulum, transformasi tersebut juga akan melibatkan perubahan kepada sistem penilaian supaya tidak hanya berasaskan peperiksaan.

Menurutnya, melalui sistem penilaian baru itu, prestasi para pelajar akan dinilai sejak mereka berada di tahun satu lagi.

”Ini bermakna ketika pelajar-pelajar itu menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), peperiksaan mereka melibatkan silibus yang kecil sahaja kerana mereka telah dinilai sejak awal lagi,” jelasnya.

Beliau memberitahu, sistem yang bakal dilaksanakan itu akan menggunakan sistem pengumpulan mata seperti dilaksanakan di universiti.

Menurut Alimuddin lagi, tahun ini sebanyak 50 sekolah telah dipilih sebagai perintis bagi melaksanakan transformasi tersebut dan ia akan diteruskan kepada 500 buah lagi pada tahun hadapan serta ke seluruh negara menjelang 2010.

Beliau berharap, melalui mekanisme transformasi itu, lebih ramai pelajar yang bermutu, berilmu pengetahuan dan berdisiplin dapat dilahirkan menjelang tahun 2020.

”Pelajar-pelajar yang berada di peringkat sekolah sekarang ini akan berusia antara 20 hingga 30 tahun menjelang 2020 dan produktiviti mereka sangat diperlukan untuk memajukan negara,” katanya.

Advertisements

June 16, 2008 Posted by | educations | | 1 Comment

Percutian ke Sabah

Tarikh:27 Mei – 30 Mei 2008.

Tempat : 1. Air Panas Poring  2. Kota Kinabalu.

Pada cuti semester yang lepas, cikgu berpeluang melancong bersama-sama keluarga ke Sabah. Dapatlah melepaskan sedikit keletihan mengajar (seronok mengajar) di samping menyahut seruan kerajaan untuk melancong dalam negeri. Percutian ini seperti kembali ke kampung halaman, sebab cikgu pernah menuntut di Maktab Perguruan Gaya, KK (2001)

Perjalanan bermula dengan bertolak dari Miri dan singgah ke Limbang (besan) yang turut serta dalam percutian. Cikgu bersyukur kerana sepanjang perjalanan selama 5 jam banyak kawasan yang dilalui. Bersyukur juga sepanjang lawatan banyak sekolah menengah dan rendah dilewati dan cikgu sedar betapa bertuahnya kita sebagai rakyat Malaysia. Banyak kemudahan disedikan untuk anak bangsa. Dari Limbang, Lawas, Sepitang, Beufort, Inanam ke Kota Kinabalu terdapat banyak sekolah. Cikgu sendiri pernah menjalani praktikal di SMK Kuala Penyu. Cikgu gembira sepanjang di sana.

Hari pertama menginap di Kompleks Tabung Haji, KK. Sewa berpatutan. Hari kedua perjalanan menuju ke Kolam Air Panas Poring dan Taman Kinabalu. Lebih kurang 2 jam dari KK. Sekali lagi cikgu tertarik dengan keindahan flora dan fauna sepanjang perjalanan. Rugi juga rasa tak sempat berendam dalam kolam air panas, memang panas, sebab ramai orang. waktu cuti katakan. Perjalanan balik singgah ke Taman Kinabalu. Cuaca waktu tu mendung. Cikgu menyusuri jalan kecil sepanjang taman tersebut. Kabus tebal dan udara sangat sejuk. Seronoknya. Sungguh indah sekali. Tapi mengikut makluman rakan-rakan, kesejukan di kawasan Kundasang telah berkurangan berbanding dulu. Ya, ini akibat perbuatan manusia juga. Cameron Highland sekarang pun dah tak sejuk. Rakyat Sabah mesti berbangga dengan khazanah pemberian Yang Maha Kuasa.

Sekembali ke KK kami menginap di Apartment Promenede. Kadar sewa berpatutan. sepanjang berada di KK selama 2 hari pelbagai tempat di lawati. Pasar Filipina, Muzium, Shopping Kompleks. Wah sungguh berbeza KK kini berbanding dahulu. Pelbagai bangsa, bahasa dan budaya bersatu dalam satu masyarakat majmuk. Bertuah lagi kerana hidup di Malaysia yang aman damai.

Percutian yang berbaloi walaupun letih. Semoga suatu hari nanti cikgu akan dapat pergi lagi ke Sabah. Tempat yang paling jauh cikgu pergi dulu ke Sandakan. Teringin sekarang nak malawat Tawau, Semporna dan Lahad Datu. Cikgu pun lama tak berhubungan dengan rakan-rakan lama.

Tamat cuti, kini tumpuan kembali kearah persediaan anak murid. Dengan fikiran yang lebih tenang dan segar semoga dapat menyampaikan ilmu dengan lebih berkesan lagi.

Selamat Tinggal Sabah. Jumpa lagi.

 

 

 

June 16, 2008 Posted by | educations | , , , , , , | Leave a comment